KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menjelaskan tiada niat untuk menolak permohonan kemasukan Ahli Parlimen Julau Larry Sng ke negeri ini seperti didakwa beliau.

Menurut Pemangku Pengerusi JPBNS Tan Sri Datuk Amar James Masin Larry juga di bawah senarai perkhidmatan penting yang mengecualikan daripada kuarantin dengan syarat.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri menjelaskan, bagi Ahli Parlimen yang menghadiri persidangan di Parlimen, SOP khas untuk mengecualikan mereka daripada kuarantin telah dilaksanakan bagi membenarkan Ahli Parlimen untuk berkhidmat di kawasan masing-masing.

Di bawah pengecualian perkhidmatan penting, Ahli Parlimen harus menjalani ujian rT-PCR Covid-19 dan keputusan negatif.

Jelasnya, permohonan Larry  tidak lengkap, seperti dinyatakan di halaman penolakan permohonan bahawa beliau tidak menyerahkan keputusan ujian rT-PCR dalam permohonan tersebut.

“JPBNS telah menguatkuasakan dan mewajibkan bagi mereka yang ingin memasuki Sarawak untuk membuat permohonan menerusi EnterSarawak dan pengisytiharan e-kesihatan untuk melindungi negeri ini semasa pandemik,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Larry menerusi Facebooknya semalam menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan pengurusan dijalankan JPBNS.

Larry mendakwa beliau dan seorang lagi Ahli Parlimen sama-sama memohon menerusi dalam talian untuk kembali ke Sarawak pada hujung minggu ini.

“Permohonannya  berjaya selepas beberapa kali dan dibenarkan untuk memasuki Sarawak tanpa perlu kuarantin.

“Bagaimanapun apabila saya memohon, mereka mengarahkan saya untuk menjalani kuarantin,” kata Ahli parlimen Julau itu lagi. 

“Apabila saya memohon sekali lagi, permohonan saya masuk ke Sarawak ditolak untuk tiga kali,” kata Larry.

“Mereka perlu melampirkan surat kerja rasmi dan pengenalan diri untuk melengkapkan proses permohonan. Ahli Parlimen juga diminta untuk menjalani swab Covid-19 sebelum persidangan.

Difahamkan tiga daripada lima permohonan yang dikemukakan oleh Larry telah tidak diluluskan.