LIMBANG: Dasar jelas kerajaan serta kestabilan politik menjadikan negeri ini menduduki ranking pertama menjadi tumpuan pelabur.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, majoriti pelabur adalah dari luar negara yang membawa masuk nilai pelaburan yang sangat tinggi sekali gus memberi manfaat kepada negeri.

“Dasar kita jelas iaitu mesra perniagaan dengan negara-negara lain. Oleh sebab itu, pelabur senang melakukan pelaburan di tempat kita. “Pelaburan yang besar ini akan dapat memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk terus berkembang,” katanya pada Majlis Program Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang di Dewan Suarah pada Khamis.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, Kerajaan Sarawak juga telah mengambil keputusan untuk memperketatkan pintu sempadan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pintu sempadan di darat, laut dan udara diperketatkan adalah bagi mengekang penyebaran pandemik Covid-19. “Hal ini adalah berdasarkan keputusan yang dilakukan setelah mesyuarat bencana Bahagian Limbang baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak terletak berdekatan dengan kawasan yang masih mempunyai kes jangkitan yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Indonesia.

“Kita mengambil keputusan untuk memperketatkan sempadan sama ada yang keluar atau yang masuk ke Sarawak.

“Namun demikian, melainkan terdapatnya perkara-perkara mendesak, tidak dapat dielakkan, dibenarkan dengan mengikut prosedur ketat yang telah ditetapkan,” ujarnya.