Friday, August 19, 2022

Lima kemungkinan di Perak

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Felo Penyelidik Universiti Teknologi Malaysia Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, terdapat sekurang-kurangnya lima kemungkinan bagi merungkai kemelut politik di Perak ekoran Menteri Besarnya Datuk  Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN pada usul dikemukakan pada sidang DUN Perak  semalam.

Beliau yang juga ADUN Chenderiang hanya menerima 10 undi menyokong, manakala 48 tidak menyokong dan satu berkecuali dalam undi sulit dari usul dibawa Datuk Abd Manap Hashim (Umno-Pengkalan Baru) itu.

Pertama, jelasnya MB sedia ada dibenarkan terus mentadbir, walaupun dengan sokongan yang tidak mencukupi. 

“Situasi ini dianggap sebagai  kerajaan minoriti. Kerajaan ini bersifat sementara melainkan jika beliau berjaya mengumpulkan semula sokongan,” jelasnya dalam satu kenyataan. 

Kedua,  katanya lagi parti pembangkang berjaya mendapatkan sokongan tambahan dari ADUN Bebas atau ADUN kerajaan dan menubuhkan kerajaan baharu.

“Ketiga, parti kerajaan mengadakan rundingan baharu dan kembali bergabung bagi memberikan sokongan kepada Menteri Besar yang baharu yang memiliki sokongan majoriti,’ katanya.

“Keempat, tiada siapa yang layak mendapat sokongan majoriti sehingga memberi kesan kepada kelancaran kerajaan termasuklah untuk meluluskan belanjawan. Maka, DUN terpaksa dibubarkan dan PRN terpaksa diadakan,” ujarnya.

Kelima,  kata beliau, bagi mengelakkan PRN waktu wabak, maka kerajaan Persekutuan melalui YDPA mengisytiharkan darurat di Perak dan melantik mana-mana tokoh untuk memimpin Perak dalam tempoh berkenaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru