TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak meluluskan suntikan dana berjumlah RM39.4 juta bagi pemasangan sistem bantuan pelayaran (Aids to Navigation – AtoN) di Pelabuhan Tanjung Manis.

Bercakap kepada pemberita, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, pemasangan AtoN merupakan antara syarat yang dikehendaki oleh Persatuan Laut Antarabangsa (International Association Of Marine).

“Pemasangan AtoN yang dijangka siap pada 2022 amat penting untuk memberikan panduan kepada kapal yang lalu di kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Tanjung Manis Khamis.

Menurutnya, pelabuhan yang canggih dan lengkap memainkan peranan penting untuk membangunkan sesebuah negara atau negeri.

“Begitu juga pelabuhan di Sarawak memainkan peranan penting pada masa akan datang. Kita melihat mana-mana negara yang mempunyai pelabuhan yang canggih dan lengkap menjadi tempat yang maju di dunia.

“Kita berharap dengan adanya Pelabuhan Tanjung Manis di kawasan wilayah tengah ini memainkan peranan untuk membangunkan kawasan ini (wilayah tengah),” jelasnya.

Beliau yakin Pelabuhan Tanjung Manis boleh memainkan peranan sebagai pintu masuk ke kawasan wilayah tengah, selain pelabuhan lain yang berada berdekatan.

Julaihi memberitahu, Pelabuhan Tanjung Manis boleh mengendalikan sehingga 5.8 juta tan kargo termasuk 230,000 TEU (unit bersamaan 20 kaki)

kontena setiap tahun.

Menurutnya, sehingga Oktober 2020  Pelabuhan Tanjung Manis merekodkan sebanyak 1.48 juta tan kargo yang dikendalikan, berbanding 1.97 juta tan kargo dalam tempoh yang sama tahun 2019.

“Bagi pengendalian kontena yang direkodkan di Pelabuhan Tanjung Manis sehingga Oktober tahun ini ialah 25,050 TEU, berbanding 30,399 TEU dalam tempoh yang sama tahun 2019.

“Ini bermakna terdapat pengurangan berlaku akibat kesan pandemik Covid-19 yang berlaku sejak awal tahun ini,” ujarnya.

Beliau berharap jumlah pengendalian kargo dan kontena di Pelabuhan Tanjung Manis dapat dipertingkatkan semula selepas keadaan pulih pada masa hadapan.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis yang juga ADUN Daro, Safiee Ahmad, Ahli Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis yang juga ADUN Balingian, Abdul Yaakub Arbi dan Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Safri Zainudin.