KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menzahirkan ucapan tahniah kepada Alena Murang dan rakan sepasukannya, yang memenangi kategori anugerah muzik video “Gaya Terbaik”, di Festival Video Muzik Buenos Aires 2020 (BAMVFEST20) di Argentina, baru-baru ini.

Katanya, pencapaian untuk video muzik “Midang Midang” ini mengagumkan, kerana mempamerkan kepelbagaian identiti budaya Sarawak menerusi gaya, motif dan reka bentuk fesyen yang terdapat di Bumi Kenyalang.

“Ia merupakan penghormatan bagi semua rakyat di Sarawak. Alena sebagai artis bermain Sape yang berjaya menyampaikan mesej halus berhubung budaya, fesyen dan tradisi kita yang unik dalam video muzik tersebut,” katanya dalam kenyataan media, Khamis.

Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.15 Asajaya berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab atas pelancongan, beliau turut gembira melihat muzik video di Dataran Tinggi Bario dan Pantai Tusau.

“Ia berpotensi menimbulkan minat  kalangan masyarakat di negara lain, terutama mereka yang ingin mengetahui  tarikan pelancongan di Sarawak.

“Sudah tentu, muzik video (Alena) memiliki potensi dan kekuatan untuk mengetengahkan budaya Sarawak di pentas global,” katanya.

Katanya, ia merupakan pencapaian bagi Sarawak setelah warisan budaya dan tradisi yang unik mendapat pengiktirafan melalui muzik video yang mengumpulkan 40,000 tontonan di Youtube.