SRI AMAN: Isu pembangunan yang disuarakan oleh ketua-ketua kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili akan diberi perhatian.

Demikian jelas, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis yang akan membawa perkara tersebut ke meja rundingan bersama pegawai yang bertanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian.

Berucap dalam program Info On Wheels Perhimpun Sivik di Rumah Engkabi, San Semanju Engkilili pada Khamis, beliau memberitahu, tiada peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (RTP) disalurkan ke kawasan berkenaan disebabkan ia di bawah wakil rakyat pembangkang.

Justeru katanya, masyarakat di Daerah Mengundi Semanju diseru menyokong Gabungan Parti Rakyat Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri akan datang.

“Isu pembangunan yang disuarakan oleh beberapa orang ketua kaum tersebut dibawa ke meja rundingan bersama pegawai yang bertanggungjawab demi penyelesaian yang secepat mungkin.

“Dari sudut politik pula Engkilili kini di bawah ADUN pembangkang justeru rakyat akan rugi kerana tiada peruntukan RTP dan MRP,” jelasnya.

Dalam majlis sama, beliau mengumumkan geran kerajaan masing-masing sebanyak RM5,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) San Semanju, PIBG SK Engkilili No.1, JKKK Rh. Engkabi, manakala RM3,000 untuk Biro Wanita rumah panjang tersebut.