KUCHING: Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak yang akan  diraikan esok dijadualkan akan dirasmikan  oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tun Abang Haji Openg.
Ia akan berlangsung di Kompleks Sukan Asajaya, Samarahan dengan tema ‘Belia Pemacu Transformasi Digital Sarawak’.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, jumlah peserta pada tahun ini dihadkan kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

“Pada sambutan tahun sebelum ini, kita menyaksikan lebih 3,000 belia hadir. Namun, untuk kali ini berbeza kerana Covid-19,” jelasnya melalui satu hantaran di Facebooknya.

Kata Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya, pelbagai aktiviti bakal diadakan termasuk pameran kereta dan motosikal, pameran belia, pameran kreativiti dan inovasi belia, dapur dan gerai belia.

Pada hari perasmian esok, akan disampaikan Anugerah Belia Negeri untuk pelbagai kategori, termasuk tokoh wanita, tokoh lelaki dan tokoh persatuan belia sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap pencapaian dan sumbangan mereka.