BINTULU: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontijen Sarawak akan terus mempergiatkan usaha dan menggempur perjudian dalam talian di seluruh daerah di negeri ini.

Perkara ini dijelaskan Timbalan Pesuruhjaya Polis Kontijen Sarawak, DCP Dato’ Fisol Salleh yang ditemui selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Bintulu pada Selasa.

Katanya, usaha tersebut akan dilakukan lebih agresif berbanding sebelum ini.

“Kerjasama daripada semua IPD di negeri ini penting dalam menangani isu berkaitan (perjudian),” katanya.

Dalam pada itu, DCP Dato’ Fisol menambah, selain mengenal pasti kesiasiagaan pegawai dan kakitangan IPD Bintulu dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, turut dilihat ialah kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi banjir dan pandemik COVID-19.

“Kini, Sarawak berhadapan dengan dua bencana iaitu banjir akibat Monsun Timur Laut (musim tengkujuh) dan pandemik COVID-19.

“Tetapi disebabkan persiapan dan pemantauan diperingkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), RELA, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) maka Sarawak hanya satu daerah sahaja zon merah manakala daerah-daerah lain tidak terjejas,” tambahnya.

Ujarnya lagi, Kerajaan Sarawak telah mengambil pendekatan yang cukup baik di dalam menangani situasi pandemik COVID-19.