TEBEDU: Enam sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah di Bahagian Serian mencipta sejarah tersendiri selepas masing-masing menerima papan tulis interaktif atau ‘Interactive Smart Board’.

Tujuh sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebedu, SMK Tebakang, SMK Taee, SMK Serian, SMK Tarat, SMK Balai Ringin dan Sekolah Kebangsaan (SK) St Dominic Pichin.

Berucap dalam majlis penyerahan papan tulis pintar di SK St Dominic Pichin pada Isnin, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, penyediaan papan pembelajaran interaktif akan membuka lembaran baharu dalam sektor pendidikan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang mentransformasikan sektor pendidikan dengan menggunakan teknologi terkini dalam sesi pembelajaran dan pengajaran.

“Kita tidak menafikannya Sarawak masih jauh ketinggalan, namun yang penting sekarang kita secara perlahan akan cuba mentransformasikan sektor pendidikan Sarawak dengan menggunakan teknologi terkini” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu turut membidas kenyataan pihak tertentu di dalam media mendakwa harga komputer yang ditempah oleh pihak SAINS jenama Raspberry Pi adalah terlalu mahal.

Tegas beliau, tawaran harga komputer tersebut adalah termasuk kos penghantaran, pemasangan, kerja ‘upgrading’, penyelenggaran dan waranti oleh pihak SAINS.

“Peranan Kementerian Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak adalah hanya mengeluarkan bajet kepada SAINS selaku pembekal komputer.

“Sekiranya tiada halangan kira-kira 1,265 set komputer tersebut akan dibekalkan pada Mac 2021 nanti,” ujarnya.