Peminat perlumbaan motor menyarankan agar kerajaan dapat menyediakan trek lumba kereta dan motosikal di kawasan tertentu di bandaraya Miri untuk memenuhi keperluan dan minat anak muda.

Ada pemandu lumba kereta yang tidak mahu nama mereka disiarkan telah bertemu dengan PAS Miri mahu perkara ini ditangani oleh pihak berkuasa tempatan. Menurutnya, dia dan rakannya telah memohon kawasan yang sesuai di Kuala Baram untuk trek lumba kepada pihak yang berkenaan. Menurutnya, kawasan ini cukup lengang dan kenderaan jarang digunakan.

PAS menggesa pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan memenuhi tuntutan perlumbaan motosikal dan kereta. Inisiatif ini juga dibuat sebagai tempat ‘hiburan’ baru yang dilihat lebih sihat dan bermanfaat. Ia akan diadakan dalam bentuk program yang bermanfaat dalam mendidik mereka agar tidak terlibat dalam perlumbaan haram yang boleh membahayakan diri mereka sendiri dan pengguna jalan raya selain membuang masa.

PAS berharap pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan dapat meluluskan trek lumba khas untuk perlumbaan kereta dan penunggang motosikal yang telah dikenal pasti. Kewujudan trek lumba yang dikhaskan untuk perlumbaan kereta dan motor dapat mengelakkan berlakunya perlumbaan haram dan membahayakan diri mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

Kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan untuk meluluskan trek lumba khas ini sangat dihargai. Pasti peminat kenderaan dan lumba motor dapat menggunakan trek ini dengan sebaik mungkin. Memandu dengan selamat, keselamatan adalah yang terpenting, dan kehidupan dihargai.

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak