MIRI: Apa yang uniknya di Sarawak ialah perpaduan yang ada di dalam masyarakat yang pelbagai kaum dan ini perlu dipelihara demi untuk kesejahteraan bersama.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, ini dapat dlihat menerusi persembahan yang telah ditunjukkan dalam majlis ini yang menampilkan pelbagai kebudayaan dari segi persembahan, pakaian, bahasa dan sebagainya yang ada di Sarawak.

“Kita di Sarawak, khususnya di PPR Sungai Rait masyarakatnya hidup dalam pelbagai kaum seperti Cina, Orang Ulu, Iban, Melayu, Bidayuh, Melanau.

“Ini merupakan satu contoh keunikan kehidupan masyarakat kita di Sarawak dan ini harus dikekalkan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Randau Solidariti Komuniti 2020 yang diadakan di Dewan PPR, Sungai Rait, Miri pada Ahad.

Dalam pada itu, Ripin turut mengingatkan masyarakat dalam meraikan sesuatu majlis seperti ini, garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemuluhan (PKPP) harus diikuti dan dipatuhi dalam usaha mengekang penularan wabak pandemik COVID-19.