PADAWAN: Pihak polis menerima 20 aduan berkaitan penipuan ‘Peraduan Gores dan Menang’ yang membabitkan kerugian sebanyak RM88,679 dalam tempoh 1 Januari hingga 30 November, tahun ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Padawan ASP Tina Manchu berkata, jumlah tersebut merupakan hasil laporan kes yang diterima pihaknya merangkumi kawasan Siburan dan Padawan.

Dedahnya, aktiviti penipuan ini dilihat mula meningkat dan kembali aktif bermula awal November ini dengan menyasarkan individu berusia lingkungan 35 hingga 60 tahun.

Menurutnya kebanyakan suspek menggunakan taktik tawaran cabutan bertuah kepada mana-mana individu yang kebetulan lalu di lokasi peraduan secara rawak.

Tambah beliau mangsa akan diminta untuk membuat pembayaran terlebih dahulu menggunakan kad kredit atau kad debit bagi mendapatkan hadiah yang ditawarkan.

“Dari situ suspek akan menggunakan kad milik mereka dengan kadar bayaran yang tinggi tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik.

“Mangsa yang tidak mengetahui apa-apa akan tersedar selepas melihat wang di dalam akaun kurang atau caj penggunaan kad kredit terlalu tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru Tina selain itu menggesa agar masyarakat untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta tidak mudah terpedaya dengan mana-mana peraduan gores dan menang yang ditawarkan oleh sindiket ini.

Pada masa sama beliau turut meminta kepada orang awam tampil menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan aktiviti itu di balai polis berdekatan atau secara terus kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).