KABONG: Seorang penggiat seni dan legenda dalam penghasilan skrip drama radio untuk siaran drama dalam syair dan drama radio untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak sekitar tahun 1970-an atau lebih tepat sekitar tahun 1974 hingga 1977, Ismail Seli, 63, meninggal dunia petang tadi.

Allahyarham Ismail yang juga merupakan penulis cerpen dan puisi meninggal di kediamanannya di Kampung Semarang jam 6 petang kerana menghidap barah usus.

Beliau yang dilahirkan pada Ogos 1957 membesar di kampung halamannya di Masjid Lama Kabong.

Bagaimanapun beliau kemudiannya memilih untuk berpindah Kampung Semarang pada tahun 2012 iaitu kampung halaman isterinya.

Beliau meninggalkan seorang balu, Rohaya Mostapha,61 tahun dan lima cahaya mata serta dua menantu dan tiga cucu.

Antara karya Allahyarham Ismail ketika aktif berkarya ialah Embok Sumpahan Petara (14 siri),Raja Enuman (8 siri) Sharif Maulana dan Tuah Belian untuk drama Setitik Peluh Di Bumi Bertuah.

Berita sedih pemergian insan seni itu dikongsikan anak beliau Mohd. Jamil Ismail di laman Facebooknya dengan menyatakan Allahyarham ayahnya sebelum itu menghidap
barah usus tahap empat.

Jenazah Allahyarham Ismail akan disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Semarang esok.