LUBOK ANTU: Masyarakat di kawasan Batang Ai terus menerima pelbagai projek pembangunan yang dibawakan oleh kerajaan Sarawak.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk (Dr) Malcolm Mussen Lamoh berkata, beliau sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan sentiasa berusaha untuk membawa pembangunan untuk manfaat penduduk setempat.

Jelasnya, setiap pembangunan melalui proses berperingkat dan ianya membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dengan masyarakat di luar bandar.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Randau dengan Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Rumah Egar, Bukit Tungku, Lubok Antu pada Ahad.

Dalam majlis tersebut beliau turut memaklumkan mengenai  pembinaan projek grid air yang akan dilaksanakan dari Lubok Antu ke Engkilili.

Turut diumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 masing-masing kepada JKKK Bukit Tungku dan AJK Gerempung Indu Klampu serta RM5,000 setiap satu kepada AJK Gerempung Indu Bukit Tungku dan AJK Gerempung Indu Seremat.