MIRI: Perkembangan dan kemajuan yang dinikmati di Miri pada hari ini adalah hasil perancangan masa depan yang telah dilakukan pada masa lalu di bawah Pelan Induk Wilayah Miri 15 tahun yang dimulakan pada tahun 2005 dan berakhir 2020.

Justeru, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, penganjuran Makmal Pelan Induk Pembangunan Miri kali ini adalah bertepatan dalam usaha merangka pelan pembangunan baharu Miri bagi tempoh 10 tahun akan datang pada tahun 2030.

“Oleh itu, penting bagi kita untuk melihat apa yang telah dicapai, apa yang belum dilakukan dan seterusnya untuk mempersiapkan rancangan pembangunan masa depan untuk Bahagian Miri.

“Saranan saya kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri adalah untuk melaksanakan Pelan Induk 10 Tahun lagi untuk Bahagian Miri mulai 2021 hingga 2030.

“Ini disebabkan kesan jangka masa panjang yang diselaraskan dengan aspirasi kita menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berucap semasa merasmikan Majlis Pembangunan Miri Terhebat – Makmal Pelan Induk di Hotel Pullman, Miri pada Isnin.

Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut menjelaskan bahawa beberapa perkara penting perlu diketahui semasa menyediakan Pelan Induk Pembangunan Wilayah Miri.

“Ianya mesti mempunyai penyelarasan strategik antara apa yang ingin kita lakukan di peringkat bahagian dan rancangan di peringkat negeri. Ini semestinya bersifat pelengkap.

“Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Menteri Sarawak yang juga Ketua Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak atau ringkasnya SEAC Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengenai Aspirasi Ekonomi Sarawak 2030.

“Katanya, menjelang 2030, Sarawak akan menjadi masyarakat maju yang didorong oleh data dan inovasi di mana setiap orang menikmati kemakmuran ekonomi, inklusif sosial dan persekitaran yang mampan,” jelasnya.

Beliau turut meminta setiap peserta bengkel memikirkan potensi yang ada pada sumber semulajadi di Miri yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan dan kesejahteraan masyarakatnya.

“Para peserta Makmal harus memikirkan, bagaimana memanfaatkan potensi tersebut seperti minyak dan gas, pelancongan, pertanian (kelapa sawit), pembuatan, pembinaan kapal, berasaskan kayu, pendidikan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk menjana pertumbuhan yang lebih besar bagi Bahagian Miri,” ujarnya.

Menerusi makmal ini juga membolehkan perubahan atau transformasi dilaksanakan untuk mencapai Pelan Induk Pembangunan Miri untuk mencapai bahagian yang maju dan makmur menjelang 2030.

Hadir sama Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr. Penguang Manggil, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Menteri Muda Wanita dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat dan wakil Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Ivy Lim Chen Chen.