LIMBANG: Setiap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berperanan sebagai mata dan telinga Kerajaan Sarawak dalam memberitahu polisi dan bantuan yang diberikan kerajaan kepada masyarakat.

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, selain itu KMKK juga berperanan memberikan maklumat kepada kerajaan berkenaan keperluan-keperluan yang tiada di kampung.

“Tugas KMKK sangat penting. Kalau tiada KMKK, apa jua rancangan kerajaan yang baik-baik tu tidak sampai kepada yang di bawah.

“Jadi, kita punya perancangan tidak akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh. Banyak program kerajaan, banyak program GPS.

“Ketua Menteri mempunyai perancangan yang berpandangan jauh, program-program makro (yang besar-besar) dibuat, program-program sederhana dibuat, program-program mikro (yang kecil-kecil) dibuat.

“Sebagai contoh Makro ditubuhkannya bank, diambil alihnya Bakun, dibuatnya PETROS, dibuatnya TV Sarawak dan yang terbaru beliau merancang untuk menubuhkan telco Sarawak (syarikat telekomunikasi Sarawak) seperti Celcom dan Telekom,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Kesyukuran Tahunan dan Doa Selamat Dijauhkan Dari Wabak COVID-19  di Dewan Serbaguna Kampung Meritam Limbang pada Ahad.

Sementara itu, ketika ditemui Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu Jawatankuasa  Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang telahpun bersedia untuk menangani masalah banjir ini.

“Kita telah pun menyediakan pusat-pusat pemindahan banjir dan sebagainya, begitu juga persediaan antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan seperti Jabatan Kebajikan, Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Bomba, APM semua telah bersedia untuk memulakan bantuan sekiranya diperlukan.

“Pada masa ini air baru mula naik kemudian surat semula disebabkan oleh keadaan hujan tidaklah begitu banyak sekali turun, tetapi kalau kita lihat trend kalau mengikut laporan hujan akan lebih banyak turun pada bulan hadapan,” ujarnya.

Untuk itu, penduduk-penduduk yang tinggal di sepanjang tebingan Sungai Limbang supaya berhati-hati disebabkan pada masa ini musim tengkujuh bermula dari bulan ini dan dijangka akan berakhir pada bulan Mac.

Hadir sama Pengerusi Badan Kebajikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Islam Daerah Limbang Pemanca Abu Bakar Tinggal, Pengerusi Pengelola Majlis Kesyukuran Tahunan Badan Kebajikan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Islam Daerah Limbang Bagi Tahun 2020 Penghulu Ahmad Bini dan KMKK Daerah Limbang. -EDISI UKAS