GEDONG: Penduduk di sini bakal menikmati kemudahan perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pada hujung Disember tahun ini.

Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Naroden Majais berkata, ia selaras dengan dasar kerajaan negeri untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk di luar bandar dan pedalaman bagi memudahkan urusan mereka.

Menurutnya, beliau sudah menerima surat kelulusan pihak Agro bank, iaitu sebuah mesin ATM akan disediakan di Gedong.

“Jadi saya bagi pihak penduduk Gedong menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Agro Bank kerana meluluskan satu unit mesin ATM yang akan ditempatkan di Anjung Usahawan Gedong dalam masa terdekat ini,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.26 Gedong berkata, mesin ATM ini memanfaatkan lebih kurang 7,000 penduduk asal Gedong, serta 4,000 pekerja yang bekerja dan tinggal di ladang kelapa sawit di kawasan ini.

“Ini memudahkan mereka agar tidak bersusah payah ke Serian bagi urusan pengeluaran serta penghantaran duit, menerima bantuan kerajaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau menjelaskan, mesin ATM ini amat praktikal dan sekiranya ada permintaan lagi, beliau akan meminta pihak bank untuk menambah mesin ATM.

Buat masa sekarang, mesin ATM akan hanya ditempatkan di Anjung Usahawan Gedong dan tapak sudah disediakan.

Pengurus Wilayah Agro Bank Sarawak, Abdul Halek Abdullah ketika ditemui pemberita berkata, ia merupakan hasil dan usaha Naroden dalam menyediakan mesin ATM di Gedong.

“Mesin ATM ini juga mampu meningkatkan lagi ekonomi penduduk kerana, apabila ada aliran tunai, banyak peluang perniagaan akan wujud,” kata Halek.