TATAU: Pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak khusus untuk membangunkan kawasan luar bandar di negeri ini sedang diberikan perhatian.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Undang-Undang dan Adat Bumiputera Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, inisiatif ini termasuk pembangunan infrastruktur di kawasan dan juga kepada setiap masyarakat Sarawak.

“Kerajaan Sarawak melalui pelbagai inisiatif telah memperkenalkan beberapa projek bagi membantu dan membangunkan kawasan luar bandar seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus ini.

“Ini termasuklah projek seperti, Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Agriculture Facilitation Fund (AFF), RES dan Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme (SARES).

“Selain itu, bantuan kepada masyarakat seperti Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS), Endowment Fund Sarawak (EFS), Bantuan Ibu Bersalin, Kenyalang Gold Card (KGC) dan sebagainya,” katanya.

Katanya, semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Robert Ahsoon, Sungai Empang, Sangan Tatau pada Ahad.

Dalam pada itu, Datuk John Sikie yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus menyeru supaya penduduk mengambil bahagian dalam bidang pertanian sebagai suatu perniagaan yang boleh menjana pendapatan harian.

“Kerajaan Sarawak kini berusaha memperkasakan industri pertanian di negeri ini bagi menjadi pengeluar makanan terbesar di Malaysia.

“Penduduk diminta mengambil bahagian dalam menanam tanaman yang mempunyai potensi besar dan mendapat pasaran yang luas.

“Begitu juga dengan ternakan seperti khinzir, lembu dan kambing yang turut mendapat permintaan tinggi di pasaran,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau telah mengumumkan peruntukkan MRP sebanyak RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Robert Ahsoon, Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) berjumlah RM2,500 bagi setiap pintu yang memberi manfaat kepada 27 pintu penduduk Rumah Robert dengan nilai keseluruhan projek ini adalah RM67,500.

Hadir sama Penghulu Lubon Kinchang dan Penghulu Micheal Agul.