KABONG: Tidak ada istilah Kabong ‘dianaktirikan’ dalam penyediaan kemudahan bekalan air terawat bagi kegunaan penduduk.

Timbalan Pengarah Operasi JBALB Sarawak, Ahmad Salihin Che Said berkata, usaha memberi perkhidmatan terbaik telah direncana dengan cukup baik dengan penyediaan dana besar oleh kerajaan negeri bagi memberikan mutu perkhidmatan air yang baik bagi kawasan Kabong.

Namun demikian katanya, pada masa kini usaha sedang dilakukan secara bersungguh-sungguh bagi mengenal pasti punca sebenar berlakunya masalah bekalan air di beberapa kawasan di sekitar daerah itu.

Beliau memperkatakan perkara tersebut ketika berlangsung sesi dialog berkaitan masalah bekalan air di Daerah Kabong bertempat di bilik mesyuarat pejabat Daerah Kabong jam 10.30 pagi tadi.

Sesi dialog berkenaan turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan JBALB Sarawak, Awang Fadhillah, Jurutera Air JBALB Bahagian Betong, Tay Chiew Teck.

Pegawai Daerah Kabong, Haji Rashdan Hazemi Penghulu Haji Sani Haji Mohamad dan ketua masyarakat di sini.

Kata Salihin, dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah air yang masih membelenggu beliau jelasnya mengambil pendekatan turun padang bersama pasukan dari Ibu Pejabat Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Negeri Sarawak bagi mencari punca sebenar apa yang menyebabkan berlakunya masalah bekalan air di Kabong yang sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaiannya.

“Pihak kami turun padang dan pergi meninjau serta membuat pemeriksaan ke beberapa lokasi iaitu bermula dari loji utama iaitu Loji Perawatan Air Lichok hingga ke Simpang Roban seterusnya di kawasan pekan Roban, Simpang Ulu Roban, Simpang Nyabor, Kampung Gerigat dan kawasan hujung sekali kawasan Kabong.

“Pihak kami melakukan kerja pemantauan dan meneliti masalah teknikal di semua kawasan dari siang dan berlarutan hingga jam satu atau dua pagi kerana nak kenal pasti apa yang punca sebenar. Apa yang kami dapat kenal pasti dalam penelitian awal sepanjang beberapa hari ini adalah air memang tak ada dalam saluran utama.Air tak sampai ke kawasan penduduk. Hanya angin saja.Keadaan ini berlaku di beberapa kawasan bermasalah seperti di Kampung Gerigat dan beberapa buah kampung di Kabong.Inilah yang perlu dilakukan sesuatu sekarang.

“Usaha pengesanan masalah ini akan pihak kami teruskan bagi mengurangkan bilangan kawasan terjejas. Ini kerana usaha kami dengan objektif mengurangkan masalah gangguan bekalan dan menambah bilangan penduduk yang dapat terima air berbanding sebelum ini.Walaupun bekalan air tidak dapat sepanjang hari, setidak-tidaknya untuk beberapa jam air dapat disalurkan dan penduduk dapat menyimpan air untuk kegunaan harian. Walau untuk beberapa jam saja sehari, sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan penduduk untuk sementara.

“Kerja ini memang bukan mudah tetapi bukan juga suatu yang tak boleh dibuat.Apa yang saya nak ingatkan kepada petugas JBALB di Betong adalah lakukan tugas dengan baik serta ikhlas.Kejayaan kita dalam menyelesaikan masalah banyak bergantung kepada komitmen, kesungguhan serta keikhlasan dengan menjadikan integriti sebagai tonggak dalam perkhidmatan ” ujarnya.

Tambah Salihin lagi apa yang dilakukan pihaknya dalam beberapa hari sepanjang operasi yang dilaksanakan sudah menunjukkan perubahan dan hasil di beberapa kawasan yang sebelum ini sukar dapat air.

Beliau dalam pada itu berharap penduduk terus dapat bersabar kerana usaha menaik taraf sistem dan peralatan bekalan air terawat sedang rancak dilaksanakan. Dan beliau juga berharap penduduk serta pemimpin masyarakat setempat boleh memberi kerjasama kepada pihak JBALB sepanjang usaha memulihkan bekalan air di kawasan terjejas dilakukan pihak berkenaan.

Dialog berkenaan berakhir jam 12.30 tengah hari .