Friday, August 19, 2022

Jejak semula penggiat seni veteran

Secara Rawak

KUCHING: Finas melalui program Finas Prihatin 2.0 akan berusaha menjejaki semua penggiat seni kreatif terutamanya golongan veteran, jelas Ahli Perbadanan Finas Datuk Norhyati Ismail.

Menurutnya, Finas menerusi cawangan Sarawak akan berusaha mengumpul maklumat penggiat industri seni termasuk artis pelawak negeri ini untuk diberikan bantuan.

“Memandangkan kebanyakan mereka telah berpindah dan menukar alamat, Finas akan mencari maklumat penggiat seni ini termasuk pelakon, penulis skrip, jurukamera, pelawak dan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dalam industri.

“Finas mempunyai data mengenai semua penggiat seni, namun kami menghadapi sedikit kesukaran untuk mengenal pasti keberadaan mereka memandangkan kebanyakannya tidak lagi menetap di alamat yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengunjungi kediaman pelawak veteran dan pelakon drama radio (RTM) terkenal Datuk Yepni Adenan pada program Finas Prihatin 2.0 di kediamannya pada Ahad.

Norhyati yang juga Pengerusi Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Sarawak berkata, bantuan daripada Finas dapat meringankan beban pemain industri seni tanah air yang terjejas disebabkan penularan pandemik Covid-19.

“Usaha berterusan Finas ini dilakukan untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup khususnya yang mengalami masalah kesihatan, keuzuran dan terputus pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.

“Finas juga menghulurkan pelbagai bantuan termasuk wang tunai kepada penggiat industri seni sebagai menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di seluruh negara setakat ini,” katanya.

Menurutnya, seramai 10 penggiat seni di Sarawak telah menerima bantuan dalam dua program CSR Finas.

Dalam pada itu, Norhyati turut menyerahkan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap penerima dan sumbangan barangan keperluan dari Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings.

Selain Yepni, beliau turut mengunjungi Rogayah Busrah, Ali Muhamad, Luli Gagat dan Esther Bayang. Turut hadir Pengarah Finas Borneo Mohd Nazrul Shah Hamid dan Setiausaha Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) Syahid Khairul Anuar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru