KABONG: Saluran paip ‘by-pass’ yang diibaratkan seperti ‘jantung’ telah dipotong dan tidak lagi berfungsi dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama kepada berlaku masalah bekalan air ke kawasan Kabong.

Timbalan Pengarah Operasi JBALB Sarawak, Ahmad Salihin Che Said Berkata, pihaknya dalam tinjauan ke lokasi mendapati perkara berkenaan dan tidak dilakukan penyambungan semula setelah dipotong.

Menurut Salihin pasukan kakitangan dari Ibu Pejabat Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Negeri, JBALB Betong dan JBALB Sarikei kini bergabung tenaga mencari penyelesaian untuk memulihkan bekalan air terawat di kawasan Kabong pada masa kini.

Gabungan tenaga dan perkongsian kemahiran ini dilihat sebagai antara pendekatan pihak JBALB dalam usaha merungkai dan menyelesaikan masalah bekalan air yang dialami penduduk di sini pada masa kini.

Menurut Salihin, fakta pertama yang dikenal pasti ketika pihaknya membuat penelitian di lokasi adalah kesilapan yang dilakukan oleh ‘pihak berkenaan’ yang membenarkan untuk dilakukan pemotongan terhadap saluran paip pintasan atau saluran ‘by-pass’ yang telah wujud sebelum ini.

“Saluran paip ‘by-pass’ itu telah wujud sejak sekian lama dan ia ibarat ‘jantung’ kepada penyaluran bekalan air terawat ke kawasan Kabong. Namun saluran ‘by-pass’ itu dipotong kerana kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

“Selepas dipotong saluran berkenaan tidak disambung semula sebaliknya terus ditutup.Ini antara punca yang menjejaskan penyaluran bekalan air ke kawasan penduduk di Kabong.

“Pihak kita telah menyarankan supaya pihak JBALB Betong mengambil tindakan secepat mungkin dengan berbincang semula dengan pihak kontraktor Lebuhraya Pan Borneo agar menyambung semula paip pintasan yang telah dipotong,” ujarnya.

Menurut Salihin lagi, selain pemotongan saluran ‘by-pass’ beberapa masalah teknikal lagi turut dikenal pasti dan akan diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kapasiti air yang disalurkan dapat diagih mengikut kesesuaian bilangan penduduk.

“Sekarang ini agihan air agak tidak seimbang dengan keperluan penduduk. Ada kawasan penduduk yang sedikit tetapi kuantiti air disalurkan terlalu banyak dan keadaan ini akan diambilkira bagi memastikan air boleh dinikmati kawasan lebih jauh dan lebih ramai penduduk.

“Pihak JBALB kini turut mengambil pendekatan memasang beberapa lagi pam penggalak bagi menambah tekanan supaya air boleh dihantar lebih jauh ke kawasan sasar.

“Proses melepaskan tekanan angin ‘air-lock’ yang menyekat aliran air juga giat dilakukan supaya air boleh memenuhi saluran paip utama. Banyak tempat saluran paip hanya ada angin tak ada air. Masalah ini tengah cuba atasi dan buat kajian terperinci.

“Cara pemasangan injap saluran paip juga ada yang dikenal pasti tidak sesuai dan perlu diubah suai serta ada rangkaian saluran paip yang perlu diperbetul kedudukan bagi memastikan aliran air lancar.

“Pihak kami juga melakukan tindakan ‘trial and error’ ( cuba jaya) di beberapa lokasi bagi mencari cara penyelesaian yang masih misteri dan belum dapat jawapan.Beberapa peralatan dan mesin baharu digunakan bagi membantu usaha kami. Kami berharap usaha ini akan menemui kejayaan,” ujarnya.

Sesi dialog JBALB berlangsung di Pejabat Daerah Kabong dan turut dihadiri oleh Penolong Pengarah Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan JBALB Sarawak, Awang Fadhillah, Jurutera Air JBALB Bahagian Betong, Tay Chiew Teck.

Pegawai Daerah Kabong, Haji Rashdan Hazemi Penghulu Haji Sani Haji Mohamad dan ketua masyarakat di sini hari ini.