KUCHING: Langkah Kerajaan Sarawak menubuhkan syarikat telekomunikasi sendiri tidak bermakna ia akan menjadi projek gajah putih, kata pakar ekonomi Madeline Berma.

Felo Akademi Sains Malaysia itu menambah, tujuan Kerajaan Sarawak itu jelas iaitu untuk memenuhi permintaan kawasan luar bandar dan merapatkan jurang digital.

“Ini akan membantu merapatkan jurang digital dan mempercepatkan pembangunan prasarana digital sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas bantahan DAP Sarawak terhadap langkah itu, yang menyifatkan ia sebagai pembaziran wang.

Mengulas lanjut Madeline berkata, inisiatif itu juga akan memastikan rakyat dan perniagaan Sarawak mendapat kesalinghubungan.

“Kesalinghubungan ini sangat penting kerana ia dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, ia secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan tempatan dan menggalakkan penyertaan rakyat tempatan khususnya bumiputera dalam bidang berteknologi tinggi.

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg berkata, Kerajaan Sarawak akan menubuhkan syarikat telekomunikasi sendiri dalam tempoh dua tahun akan datang memandangkan syarikat swasta enggan memperluaskan perkhidmatan Internet di kawasan luar bandar kerana dianggap tidak menguntungkan.