SEBAUH: Bekerja sendiri seperti terlibat secara langsung dalam aktiviti pertanian merupakan bidang yang boleh memperoleh pendapatan yang lumayan, sesuai dengan pertanian itu suatu perniagaan. 

Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, berbanding dengan mereka yang bekerja dengan kerajaan atau swasta yang hanya akan menerima pendapatan bulanan, tetapi mereka yang terlibat dalam pertanian akan memperolehi pendapatan setiap minggu dan lumayan jika bijak menguruskannya. 

“Orang yang berjaya memperolehi pendapatan yang lebih baik adalah mereka yang bekerja sendiri, berusaha sendiri dan berniaga sendiri. 

“Ini kerana, orang yang bekerja dengan kerajaan dan swasta dia akan mendapat gaji, hari bulan ini dia mendapat gaji, setiap bulan. 

“Selepas itu, mungkin dia pencen atau keluarkan wang KWSP, di mana dia bekerja sehingga pencen berumur 60 tahun. 

“Tetapi, apabila kita berusaha sendiri, kita sentiasa ada ruang untuk memperbaiki dan juga mendapat pendapatan yang lebih,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program AGRICOP di Balai Raya Kampung Pandan, Sebauh pada Isnin. 

Seramai 130 peserta yang terdiri dari 5 buah kampung di sekitar Sebauh hadir dan mengikuti program AgriCOP ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu turut menyeru anak-anak muda tempatan yang telah berjaya dan bekerja di luar untuk datang kembali bagi mencurahkan bakti kepada masyarakat tempatan dalam memperkembangkan lagi sosioekonomi. 

“Semua masyarakat tempatan yang mampu dan telah habis belajar di universiti, tolong balik ke sini untuk berkongsi apa yang perlu seperti idea-idea baru. 

“Saya suka melihat Kampung Labang. Saudara Aziz dan Penghulu Morshidi serta anak-anak mereka yang sudah pandai. 

“Setiap kali saya pergi sana, Aziz mesti ada. Dia sekarang merupakan Pengurus Wilayah Bank Rakyat. 

“Saya bawanya datang ke sini supaya dapat beri motivasi kepada masyarakat supaya mempunyai matlamat dan objektif untuk berjaya,” ujarnya.  

Pada majlis itu beliau telah memberikan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pandan. 

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Anggang Jimbun, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak Jenny Bangga, Pemanca Limin Anai dan Penghulu Morshidi.