KAPIT: Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM550 juta untuk membina jalan sepanjang 77 kilometer ke Mujong.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing berkata, projek itu juga dijangka melibatkan pembinaan lapan buah jambatan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Gindal Baji, Pulau Sibau, Mujong, pada Sabtu.

Beliau yang Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh berharap penduduk di kawasan itu memberikan kerjasama kepada agensi pelaksanaan dalam memastikan pembinaan projek tersebut berjalan dengan lancar.

Sementara itu, Tan Sri Datuk Amar James menzahirkan penghargaan kepada penduduk di Baleh terutamanya di Mujong yang sejak dari dulu lagi memberi kepercayaan kepada beliau sebagai wakil rakyat.

Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM500 untuk sepintu setiap rumah panjang di kawasan Mujong.