MERADONG: Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) bukti keprihatinan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Datuk Openg terhadap penduduk di luar bandar.

Menurut ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, PPRMS sangat bermanfaat dalam membantu mengurangkan beban rakyat miskin dan tidak berkemampuan, mengelak pemohon menunggu kelulusan begitu lama selain pelaksanaannya yang efisien melalui konsep gotong-royong.

Beliau menjelas demikian semasa majlis simbolik Penyerahan Papan Tanda Projek PPRMS Yang Rumah Telah Siap Dibaikpulih di rumah panjang sekitar Meradong pada Ahad.

Seramai 385 penghuni kini boleh tersenyum selepas rumah mereka telah siap dibaik pulih di bawah inisiatif tersebut.

Menurut Datuk Ding, kategori penerima PPRMS adalah mereka yang mempunyai rumah usang, daif dan tidak selamat didiami, ibu tunggal, golongan mualaf dan asnaf.