Penutupan pemerintahan atau government shutdown bukanlah perkara baru di Amerika Syarikat. Namun di bawah pemerintahan Trump, situasi ini berlangsung selama 35 hari dan apabila tahun kewangan 2019 berlakunya defisit kewangan yang sangat besar dalam sejarah 7 tahun terakhir.  Kenaikan cukai  pendapatan  tidak diimbangi dengan pengeluaran dan memberikan kesan pengeluaran Amerika lebih namun pembayaran hutang pula meningkat di negara yang mempunyai penduduk 328 juta ini. 

Parti Republik dipimpin Trump  kehilangan 40 kerusi dan kuasa majoriti  dalam pilihan raya pertengahan penggal pada November 2018, tetapi  berjaya mengekalkan kuasa dalam Senat dengan majoriti tipis. 60 undi diperlukan untuk mengemukakan rang undang-undang dalam Senat ini memerlukan sokongan Demokrat. 

Bagi kelulusan awal projek, Trump mengisytiharkan darurat di AS pada awal Januari 2019  untuk meluluskan peruntukan USD 5.7 bilion untuk membina tembok pemisah di sempadan AS-Mexico tanpa perlu mendapatkan kelulusan Kongres.

Parti Demokrat tidak mahu meluluskan  dana AS$5.7 bilion (RM23.3 bilion)  yang dikemukakan oleh Trump untuk projek  membina tembok sempadan Mexico  telah melumpuhkan  pentadbiran Washington. Sebagai tindak balas, Trump enggan menandatangani belanjawan untuk pelbagai jabatan kerajaan. Tindakan ini mengakibatkan 800,000 penjawat awam persekutuan dalam pelbagai sektor tidak mendapat gaji. Hal ini menyebabkan  yang terjejas kerana kemelut itu.

Selepas 35 hari penutupan kerajaan  yang mencatatkan rekod paling lama dalam sejarah Amerika, iaitu Disember 2018 hingga Januari 2019. Akhirnya Trump akur dan membuka semula pentadbiran kerajaan dan mengalah tidak mendapat peruntukan ASD5.7 bilion yang dimahukannya daripada Kongres untuk membina tembok di sempadan. Hal ini memberikan  memberi kemenangan politik kepada Demokrat.

Sebenarnya rekod penutupan kerajaan kerana bajet tertangguh lulus pernah juga berlaku ketika pentadbiran Bill Clinton selama 21 hari dalam tempoh penghujung Disember 1995 dan Januari 2009.  Ketika era Presiden Carter pernah juga penutupan kerajaan selama 18 hari pada tahun 1978 apabila Carter menggunakan kuasa veto rang undang-undang pembiayaan kapal nuklear. Namun ketika itu, gaji pekerja persekutuan tetap dibayar  tahun 1977 juga berlaku juga penutupan kerajaan selama 28 hari khususnya jabatan buruh, kesihatan, pendidikan dan kebajikan apabila Dewan Rakyat dan Senat tidak sepakat dalam persetujuan  rang undang-undang ini.   Kesemua ini bermakna, belanjawan tidak disokong oleh ahli parlimen bukanlah suatu fenomena baru di negara maju seperti di Amerika Syarikat. 

Pengalaman Malaysia 

Isu belanjawan 2021 juga berhadapan dengan ‘penutupan  pemerintahan’ sementara,  apabila bekas Perdana Menteri Najib Razak, sebagai pengerusi Kelab Penyokong BN, menegaskan bahawa BN tidak akan menyokong belanjawan 2021 sekiranya kerajaan menolak untuk memanjangkan tempoh moratorium pinjaman bank sebanyak enam bulan dan mengabaikan permintaan untuk membenarkan satu kali pengeluaran RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pakatan Harapan pula mengancam akan menolak belanjawan negara  jika peruntukan RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) tidak dikurangkan dengan angka yang muhasabah manakala Mahathir pula menyatakan pembaziran belanjawan apabila peruntukan pembangunan pejabat sebanyak RM 160 juta untuk Bangunan Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), RM64.4 juta di seberang laut, dan RM231 juta untuk pejabat Kementerian Dalam Negeri. 

Bacaan kali kedua ialah peringkat meneliti kepentingan dan kesan usul kepada rakyat, penjelasan oleh Menteri apabila terdapat keraguan, dan membuat undian menerima atau menolak di peringkat dasar di Dewan Rakyat.

Sudah pasti ramai menjangka bacaan kedua rang undang-undang ini sukar diluluskan kerana sentimen pembangkang ketika itu sangat kuat menentang.  Bacaan rang undang-undang kedua atau kelulusan dasar ini memperlihatkan pelbagai pandangan mengenai belanjawan ini.  Secara realitinya, majoriti tipis Perikatan Nasional di Dewan Rakyat menjadikan risiko terlalu besar bagi Putrajaya untuk menolak permintaan tersebut. Majoriti kecil ini menyukarkan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan belanjawan yang diluluskan tanpa sokongan bukan sahaja dari BN tetapi juga Pakatan Harapan (PH).

Perikatan Nasional  tidak mahu mengambil risiko untuk menggagalkannya dan perlu menerima permintaan Barisan Nasional (BN) untuk pindaan terhadap cadangan belanjawan yang dibentangkan. Ditambah pula dengan langkah bijak BN dengan melantik Najib sebagai ketua kelab penyokong BN kerana Najib dijangka dapat memanfaatkan pengalamannya sebagai mantan menteri kewangan dan perdana menteri. Situasi ini menempatkan PN dalam kedudukan yang sangat sukar dan PN berisiko kehilangan sokongan orang ramai jika menolak dua tuntutan utama BN. Sudah pasti Najib akan mendapat kredit  dan populariti  apabila kerajaan  bersetuju meminda belanjawan. 

Apabila terdapat tanda-tanda kerajaan mahu meminda beberapa tuntutan pembangkang dan juga suara bantahan daripada Barisan Nasional, maka tidak ada sebab untuk belanjawan ini ditolak. PN tidak dapat menolak terus tuntutan itu secara langsung kerana akan terlalu berisiko dan jalan penyelesaian dan kompromi dibuat. Maka, apabila terdapat usul belah bahagi diusulkan oleh pembangkang, hanya 13 ahli parlimen sahaja bersetuju. Itu pun, sebenarnya tidak seharusnya berlaku kerana Ketua Pembangkang, iaitu Anwar Ibrahim sudah menghantar isyarat kepada rakan sekutu mereka di parlimen agar belanjawan ini disokong. Tindakan dan keputusan ketua pembangkang pada saat-saat akhir menyebabkan ramai ahli parlimen pembangkang kurang berpuas hati kerana kelulusan bacaan kedua diluluskan dengan mudah dengan undi secara suara sahaja. 

Hal ini bermakna Dewan Rakyat berjaya meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 peringkat dasar selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

Faktor Kelulusan Dasar

Terdapat beberapa faktor kelulusan  peringkat bacaan kedua diluluskan. Yang pertama disebabkan sudah ada persetujuan secara umum bahawa kerajaan akan meminda tuntutan-tuntan seperti pengeluaran wang KWSP, isu moratorium dan peruntukan JASA.  Yang kedua, sekiranya pembangkang masih mahu menggagalkan  peringkat dasar, ia seolah-olah dilihat hanya bertindak atas motif politik dan mengabaikan kepentingan kebajikan rakyat. Yang ketiga, ahli parlimen yang tidak bersetuju dengan belanjawan akhirnya akur apabila  tuntutan khusus UMNO seperti KWSP dan moratorium sudah dipersetujui secara umum. Maka. Najib selaku Pengerusi BNBBC dan Zahid Hamidi atas kapasiti Pengerusi BN mengambil keputusan untuk menyokong belanjawan itu. Hal ini bermakna, jumlah undi pembangkang  tidak meningkat dan tidak mampu memenangi undi belah bahagi kerana bantahan UMNO sudah tiada lagi dan ini akan memalukan pembangkang yang tidak akan memenangi undi belah bahagi.   Yang keempat ialah, Ketua Pembangkang tidak mahu dikatakan membelakangkan kebajikan rakyat kerana tuntutan umum sudah dicapai.

Bacaan Kali Ketiga

Namun pada bacaan rang undang-undang kali ketiga, ia merupakan proses akhir yang turut dibincangkan di peringkat jawatankuasa setiap kementerian.  Peringkat ini akan menentukan sama ada belanjawan perlu diluluskan apabila tiba di peringkat penelitian secara mikro, fasa, jadual, panduan atau khusus  dan membuat pindaan bukan lagi di peringkat makro. Hal ini akan melibatkan perbahasan  dan persetujuan  setiap peruntukan  kementerian dengan lebih teliti. Peruntukan  setiap kementerian perlu melalui proses pengundian sebelum diluluskan. 

Sekiranya terdapat keraguan apabila Menteri Kewangan gagal menjawap soalan dengan memuaskan, memberikan gambaran tidak tepat atau cuba mengelak daripada menjawab isu pokok seperti perolehan dan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara  maka barulah pihak pembangkang akan berjaya membuktikan bahawa belanjawan  ini perlu ditolak.  Pada masa yang sama, tindakan menolak sewenang-wenang akan dielakkan oleh pembangkang kerana akan boleh mengakibatkan  gaji penjawat awam, elaun petugas barisan hadapan, bantuan rakyat dan  kemudahan lain boleh tergendala. 

Bacaan kali ketiga ini melibatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di peringkat Dewan Rakyat paling runcing kerana perlu  undian majoriti untuk diluluskan. Tanpa kelulusan bermakna belanjawan akan ditolak kerana  puluhan bahasan di peringkat jawatankuasa dan kementerian akan berlaku.  Sudah pasti, terdapat pelbagai persoalan perlu dijawap dengan tepat dan memuaskan hati ahli parlimen.  Misalnya butiran mengenai pengeluaran KWSP, situasi sebenar moratorium yang perlu melibatkan bukan sahaja B40.

Sudah pasti jalan agak berliku dalam kelulusan belanjawan 2021 ini. Namun tidak mustahil belanjawan ini lulus kerana ketika era Pakatan Harapan, tanpa UMNO, BN dan sekutu pembangkang lain ketika itu, belanjawan mampu diluluskan. Kuasa Perdana Menteri sebagai penyandang kuasa utama dan mempunyai kepelbagaian jentera dan mekanisme sudah pasti akan melakukan sesuatu bagi mengelak belanjawan tidak diluluskan.  Mekanisme ini mampu mempengaruhi jentera pembangkang di peringkat dewan rakyat hingga menjadi kecoh, saling mencurigai dan tidak yakin di antara satu sama lain. 

Sekiranya kelulusan rang undang-undang kali ketiga, di peringkat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang ini perlu diperkenan oleh Yang Di-pertuan Agong dalam tempoh 30 hari, jika tidak diperkenan, ia tetap menjadi undang-undang berdasarkan Perkara 66 Fasa 4(A). 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.