BARAM: Kawasan Long Pilah yang terletak hampir 2,000 kaki dari paras laut bukan sahaja terkenal dengan penduduknya yang hidup dalam keadaan harmoni, tetapi juga mempunyai kawasan yang sesuai untuk bertanam. 

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol berkata, ini disebabkan cuaca dan tanahnya yang sesuai menjadi faktor beberapa jenis tanaman sesuai ditanam di kawasan ini. 

“Program AgriCOP ini memang sesuai dilaksanakan di kawasan ini kerana cuaca yang sejuk dan tanah yang sesuai berbanding di kawasannya yang tanahnya kurang sesuai untuk bertanam. 

“Tanah di pinggir laut biasanya tanah “peat soil” dan sebab itu, lebih ramai masyarakat di kawasannya memilih untuk menjadi nelayan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Program AgriCOP di Kampung Long Pilah, Baram pada Sabtu. 

Pada majlis itu, beliau telah menyampaikan cek berjumlah RM1 juta daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada penduduk Long Pilah sempena lawatan beliau pada 30 Oktober lepas bagi membiayai projek pemeliharaan ikan melalui Sistem Tagang di sebuah sungai berdekatan.

Turut disampaikan cek berjumlah RM3,500 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Pilah, RM3,500 untuk SABERKAS Long Pilah dan RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Long PIlah. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berharap peserta di Long Pilah dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi dengan memulakan penanaman kopi dan nanas yang sesuai ditanam di kawasan ini bagi memperoleh pendapatan. 

Hadir sama Pengerusi Pengelola AgriCOP Bhg Miri Sema Ak Lait, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Charles Balan Seling, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, Pegawai Penguasa Pusat Penyelidikan Pertanian Wilayah Utara, Kabuloh Dr. Maclin Dayod dan Ketua Kampung Long Pilah Saging Wan.