SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus komited melaksanakan pelbagai pendekatan demi meningkatkan prasarana dan akses pendidikan yang berkualiti.

Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, perkara itu sangat penting kerana bukan sahaja untuk memastikan warga sekolah menikmati suasana pembelajaran dengan lebih selesa tetapi juga melonjak prestasi akademik pelajar.

Kerajaan Sarawak jelsnya, sangat prihatin dengan masalah itu dan akan terus komited membantu meningkatkan prasarana pendidikan yang berkualiti di seluruh Sarawak.

“Seperti yang kita maklum, sekolah ini bukan sahaja salah satu institusi pendidikan terawal di daerah ini tetapi sering meraih rekod cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk akademik dan kokurikulum.

“Projek ini membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik demi memastikan warga SMK St Anthony dapat menikmati prasarana yang moden, selamat dan selesa,” katanya.

Berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pecah tanah gelanggang serba guna SMK St Anthony di sini, semalam. Beliau juga berkata, kepesatan pembangunan yang berlaku di Sarikei hari ini merupakan usaha dan kesungguhan Kerajaan Sarawak yang mahu menjadikan kawasan ini sebagai salah satu pusat pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah.

“Ia dilaksanakan melalui pelbagai projek pembangunan yang bermanfaat kepada rakyat,” katanya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan baharu di kawasan itu membuktikan komitmen padu Kerajaan Sarawak yang bersungguh-sungguh membela nasib rakyat.

“Saya menggesa agar gelanggang serba guna baharu ini nanti dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Pengetua SMK St. Anthony, Sarikei Vincent Liong Shou Chuan; Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Reverend Father James Ting; Yang Dipertua PIBG SMK Saint Anthony Maureen Chua dan Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah Eric Ling Hung Leong antara yang turut hadir.