SARIKEI: Pelbagai prasarana sukan sedang dalam perancangan untuk dibina di Sarikei bagi memberi kemudahan kepada masyarakat di kawasan itu beriadah dan bersukan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh menjelaskan antara prasarana tersebut seperti padang bola sepak, gelanggang futsal, sepak takraw dan petanque.

“Alhamdullillah, kita melihat ramai orang-orang Sarikei, dari Bintangor dan dari luar berminat untuk bermain sukan petanque. Jadi kita akan menyediakan prasarana-prasarana seperti ini,” katanya semasa berucap pada Program Raon-Raon Ngohed Basikal Bersama YB di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei pada Ahad.

Datu Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata warga Sarikei amat bertuah kerana pelbagai kemudahan seperti Kompleks Sukan Intergrasi telah siap dan kini fasa membina pentas utama sedang dilaksanakan.

Ujarnya, tapak kosong Taman Selera Baji Jaya juga kini sedang dinaik taraf dan disediakan pelbagai kemudahan sebagai tempat penganjuran pelbagai aktiviti.

Sementara itu, semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Bomba Komuniti Kampung Jerijih pada sebelah petang, Datu Len mengingatkan masyarakat agar peka dengan keselamatan kampung masing-masing.

Tegasnya, Kerajaan amat memandang serius isu ini dan sentiasa mengambil langkah-langkah terbaik agar kehidupan rakyat terus terjamin.

Seramai 110 peserta telah menerima sijil penyertaan masing-masing selepas tamat program Bomba Komuniti yang diadakan selama dua hari bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Jerijih.