SEJAK Malaysia ditubuhkan 57 tahun lalu, memang banyak kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bidang, termasuk dari segi pembangunan prasarana.  Jika ada yang menafikannya, tentu itu pandangan tidak adil, sendeng dan tidak objektif. 

Namun, banyak juga kegagalan dan kekecewaan. 

Jika sebelum ini, rungutan dan kekecewaan itu banyak yang dipendam dan tidak disuarakan secara lantang dan terus terang, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kekecewaan itu tidak lagi dapat dibendung. 

Hakikatnya, sebelum Malaysia dibentuk,  terdapat kebimbangan dan kerisauan dalam kalangan pengasas dan pejuang kemerdekaan, serta rakyat di Sabah dan Sarawak. Itulah pada awalnya, gagasan Malaysia ditolak kerana bimbang kedudukan Sabah dan Sarawak tergugat dan didominasi Persekutuan Tanah Melayu. 

Rakyat takut akan berlaku diskriminasi terhadap rakyat dan negeri terbabit. Malah, bagi kaum bumiputera, mereka bimbang adat resam dan undang-undang tradisional mereka akan terjejas. Mereka juga bimbang berlakunya penghijrahan dari Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu ke Sabah dan Sarawak. 

Kebimbangan itu disalurkan melalui pelbagai memorandum, pertemuan dan sesi dialog. Aspirasi dan kebimbangan mereka dimanifestasikan melalui Perjanjian 18/20 Perkara dan Perjanjian Malaysia yang meliputi antara lain aspek agama, bahasa, imigresen, kewarganegaraan, cukai, kewangan, kedudukan khas bumiputera, pelajaran, perwakilan dalam Parlimen, tanah, hutan dan kerajaan tempatan. 

Isu berkaitan dengan agama, imigresen, geran pembangunan, peluang pekerjaan di peringkat persekutuan sering hangat dan mencetuskan kontroversi. Dalam tempoh beberapa dekad,  hak Sarawak dan Sabah banyak yang terhakis, dan sejak beberapa tahun kebelakangan terdapat usaha yang serius untuk mengembalikan hak berkenaan.

 Sejauh manakah kebimbangan rakyat dan pengasas kemerdekaan berasas? Adakah memang benar apa-apa yang dirisaukan mereka itu sudah menjadi kenyataan? 

 Perjanjian Malaysia 1963 merupakan perjanjian penting yang tidak boleh diperlakukan sesuka hati. Semangat dan inti pati kandungan berkenaan perlu dihormati bagi mengelakkan kekecewaan dalam kalangan rakyat. 

Hak berkenaan, kalau sudah terhakis, perlu dikembalikan atas semangat tulen persekutuan dan persaudaraan. 

Di bawah sistem persekutuan, terdapat pembahagian kuasa yang jelas antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri. Malah, terdapat senarai tanggungjawab masing-masing, selain senarai bersama.  

Ini berbeza dengan sistem politik konfederasi apabila kerajaan persekutuan mempunyai kuasa yang lebih rendah berbanding kuasa kerajaan negeri. Ia juga berbeza daripada sistem unitari apabila sumber kuasa adalah di tangan kerajaan persekutuan semata-mata.

Pada Isnin ini Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (Majlis Khas MA63)  bersidang buat kali bagi membincangkan serta membuat ketetapan berhubung perkara-perkara yang penting dan perlu dipercepatkan serta diselesaikan.

Majlis khas itu juga  dilaporkan akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan  keputusan di bawah Jawatankuasa Kabinet terdahulu bagi memastikan perkara yang dapat diselesaikan dilaksanakan segera.

Persekutuan Malaysia perlu diperkukuh dan dimantapkan. Tuntutan supaya Sabah dan Sarawak  keluar daripada Malaysia bukan jawapan atau jalan keluar. Perceraian bukan jalan terbaik. 

Pada 1963, kita bersetuju untuk bersatu melalui sistem persekutuan. Malaysia yang kita bina tidak boleh gagal. Kegagalan sesuatu persekutuan berlaku apabila timbul rasa tidak puas hati yang meluas dalam kalangan pemimpin dan rakyat di negeri terbabit.  

Justeru, apa-apa sahaja kekecewaan, rasa tidak puas hati dan rungutan, tidak dapat dibiarkan berlarutan. Sebaliknya,  ia perlu ditangani dan diselesaikan dengan berkesan berteraskan prinsip persekutuan tulen. 

Bukan tidak ada sistem persekutuan yang gagal atau hancur walau tidak dinafikan, berbanding sistem konfederal dan unitari, ia sistem terbaik. 

Kita perlu faham akan faktor yang membawa kepada gagalnya sistem persekutuan. Kita tidak mahu berlaku pemisahan seperti yang terjadi kepada Singapura pada 1965. 

Hakikatnya, satu daripada faktor yang boleh menyebabkan kegagalan ialah pembangunan ekonomi dan prasarana tidak seimbang antara negeri. Harus diingat, tidak ada Malaysia tanpa Sabah dan Sarawak.  Perkara ini perlu difahami betul-betul. 

Maka, kedua-dua negeri itu perlu dilayan dengan adil dan saksama. Tidak harus ada tanggapan atau persepsi bahawa wujud diskriminasi dan diwistandard. Persepsi sedemikian dalam kalangan rakyat dapat mencetuskan masalah lebih besar.

Kita perlu belajar daripada kejadian yang menimpa Nigeria. Wilayah timur negara itu mahu mengekalkan keuntungan hasil minyaknya bagi kegunaan wilayahnya sahaja, dan tidak mahu dokongsikan dengan wilayah atau negeri lain.Kegagalan Persekutuan Yugoslavia adalah disebabkan oleh faktor pembangunan wilayah yang tidak seimbang. Bosina ketinggalan dalam pembangunan, dan ini menjadi dorongan bagi Bosnia untuk bangkit menuntut kemerdekaan daripada persekutuan.

Kita juga perlu sedar bahawa, terdapat agihan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri di bawah sistem persekutuan seperti yang kita amalkan di Malaysia. 

Seyogia diingat masalah ketidakseimbangan kuasa atau hak yang terhakis turut menjadi punca gagal atau hancurnya sistem persekutuan. 

Sebab, negeri yang merasakan bahawa hak dan kuasa mereka terhakis atau tidak dihormati akan menyebabkan negeri terbabit bertindak drastik. Jika kerajaan persekutuan tidak mengendahkan, dengan tidak mengembalikan kuasa dan hak berkenaan, ini kemudiannya akan mencetuskan ketegangan dan konflik hubungan. Perkara seperti ini perlu dielakkan. 

Saya percaya majlis yang akan bersidang esok akan mengambil kira aspirasi dan semangat asal Perjanjian Malaysia dan juga para pejuang dan pengasas kemerdekaan Malaysia hampir enam dasawarsa lalu. Kita akan dapat berjaya sebagai sebuah persekutuan yang stabil, maju dan makmur bersama jika kita menghormati kuasa dan hak yang termaktub dalam perjanjian dan Perlembagaan Persekutuan.  

Perlembagaan yang turut mengambil kira aspirasi pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak, jika dihormati pasti akan memberi jaminan bahawa setiap wilayah mempunyai kuasa autonomi tersendiri. 

Kuasa autonomi Sabah dan Sarawak perlu dihormati, dan jika terhakis hendaklah dikembalikan. Kuasa dan hak autonomi berkenaan tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya jika kita mahu hubungan yang harmoni antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, dan seterusnya berlaku kestabilan politik dalam negara. 

Sesungguhnya, persekutuan yang berjaya, dan Malaysia yang maju, stabil dan makmur, ialah Malaysia yang mempunyai ciri perlembagaan yang menjamin kedaulatan kuasa autonomi kerajaan negeri, dan terdapatnya imbangan kuasa berdasarkan doktrin pemisahan kuasa antara antara eksekutif, perundangan dan  kehakiman. 

Kerajaan Persekutuan perlu memberi layanan yang adil terhadap Sabah dan Sarawak dari segi agihan kekayaan dan hasil, pembangunan, ekonomi, dan sebagainya. 

Kita mengharapkan perbincangan pada esok hari akan berlangsung dalam suasana  telus dan profesional berdasarkan hak, kuasa, autonomi dan semangat dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia. 

Isu membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 perlu ditangani dengan kepala dingin, saksama dan adil. 

Majlis ini perlu dilihat betul-betul komited untuk menyelesaikan sebarang isu berbangkit agar sebagai sebuah persekutuan kita dapat melangkah ke hadapan dengan penuh yakin. 

Kita perlu memastikan Sabah dan Sarawak bergerak sering dan sejalan dengan Kerajaan Persekutuan. Manakala Kerajaan Persekutuan pula perlu mengambil berat  masalah di kedua-dua negeri itu.

Tidak harus ada jurang lebar dari semua segi, termasuk dari segi pembangunan dan kemajuan.  

Kita ingin melihat Malaysia yang stabil,  selamat, kukuh, maju, membangun dan makmur.  Untuk itu, semangat atau nasionalisme  kenegerian dan sikap parokial yang melampau perlu dibendung, sebaliknya integrasi nasional perlu dimantapkan demi kebaikan bersama.  

Kita tentu tidak mahu berlakunya Malaysia yang bagai tebu — manis di pangkal, tetapi tawar di hujung sebagaimana diungkapkan Tun Jugah Barieng, salah seorang pejuang dan pengasas kemerdekaan Sarawak lebih 55 tahun lalu.