SELANGAU: Peruntukan berjumlah RM60,000 diluluskan untuk membeli bahan binaan bagi membaik pulih Rumah Kepu, Pelugau Balingian, di sini.

Selain itu, RM10,000 juga diluluskan untuk membina dapur Biro Wanita rumah panjang tersebut.

Kelulusan peruntukan itu dinyatakan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang semasa program turun padang bertemu rakyat di sekitar kawasan itu.

Beliau turut menyerahkan cek geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM250,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita di kawasan DUN Tamin.

Gira turut meluangkan masa merasmikan tapak Rumah Panjang Andi sepanjang 26 pintu di Sungai Sebaya Selangau. Peruntukan sebanyak RM100,000 untuk membeli bahan binaan juga diluluskan.

Semasa program di Rumah Gerinsa, Sungai Sebaya, peruntukan sebanyak RM10,000 diluluskan kepada Biro Wanita rumah panjang tersebut.

Gira berkata, Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diterajui Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengamalkan politik pembangunan yang berpaksikan rakyat.

“Kerajaan GPS memberikan penekanan terhadap pembangunan dan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar demi kesejahteraan rakyat.

“Semua rakyat di peringkat akar umbi harus memahami bahawa GPS berpegang pada prinsip Utamakan Sarawak, setiap tindakannya memberi manfaat kepada Sarawak,” tegasnya.

Turut hadir, Pemanca Mathew Ganggang, Pengulu Thomas Jawa, Pengulu Surang Takin, Pengulu Augustine Anjat, Pengulu Andrewson Ngalai dan tuai-tuai rumah.