KUCHING: Inisiatif Kerajaan Sarawak mahu melihat setiap kawasan di negeri ini membangun dan maju, wajar disokong semua masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata, semua ini adalah untuk memastikan setiap masyarakat Sarawak menikmati kemudahan, limpahan ekonomi dan meningkatkan taraf sosioekonomi. 

“Menerusi perancangan yang strategik dalam pembangunan ekonomi sejajar dengan adanya sumber semulajadi di setiap kawasan di Sarawak, sudah pastinya ianya akan dapat meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat. 

“Dalam hal ini, masyarakat boleh turut serta secara terus atau melalui penghasilan peluang-peluang pekerjaan agar semua lapisan tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menghadiri Taklimat Pembangunan Agensi Di Bawah RECODA baru-baru ini. 

Mengulas lanjut, Dr Hazland menyifatkan corak dan struktur pembangunan di negeri ini adalah yang terbaik pernah dihasilkan pemimpin-pemimpin Sarawak menerusi pelan jangka panjang dengan menubuhkan beberapa inisiatif secara sistematik.

“Penubuhan seperti Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) pada tahun 2017 di bawah RECODA telah merancakkan lagi pembangunan di Sarawak.

“Hasilnya, beberapa kawasan di negeri ini telah rancak membangun dengan adanya kemudahan awam dan asas yang menjadi tunjang kepada pembangunan sesuatu kawasan selain meningkatkan sosiekonomi penduduk apabila mengaplikasikan sumber semulajadi termasuk hasil hutan dan laut di kawasan tersebut,” ujarnya.