SIMUNJAN: Seramai 88 orang penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan menerima sumbangan menerusi Program Ziarah Kamek pada Sabtu.

Sumbangan berbentuk makanan, kerusi roda, tongkat kaki, lampin pakai buang dan sebagainya telah disumbangkan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong yang juga Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri.

Berucap secara maya semasa Program Penyerahan Sumbangan dan Ziarah Kamek Zon 1 dan Zon 2 DUN Simunjan Tahun 2020, beliau memberitahu,

Program Ziarah Kamek telah sejak tahun 2016 bagi membantu golongan sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan.

Jelasnya, pada tahun 2017, program tersebut telah dijenamakan semula di mana pelbagai penambahbaikan dilakukan dalam bentuk bantuan yang disalurkan.

“Antara penambahbaikan yang dilakukan ialah membaiki rumah penerima agar lebih selesa, bantuan perubatan untuk pesakit terlantar serta bantuan lain seperti lampin pakai buang dewasa, kerusi roda, tilam atau katil pesakit dan tongkat kaki,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris memberitahu, disebabkan penularan pandemik COVID-19, Program Ziarah Kamek tidak dapat dilaksanakan secara rumah ke rumah.

“Program ini juga merupakan satu inisiatif wakil rakyat kita yang tidak pernah lupa akan penduduk di kawasan yang memerlukan bantuan sekaligus meringankan beban mereka,” ujarnya.