MIRI: Penganjuran Program Randau Solidariti Komuniti 2020 yang diadakan ini sangat baik dan bermanfaat kepada semua golongan masyarakat di kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Lambir.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata, ini membolehkan agensi kerajaan menerangkan kepada masyarakat berkenaan dengan maklumat dan polisi terkini Kerajaan Sarawak khusus kepada masyarakat di negeri ini. 

“Pada pandangan saya, program ini amat baik sekali untuk bersama dengan komuniti di samping menerangkan beberapa perkara seperti polisi kerajaan dan polisi jabatan serta maklumat terkini yang perlu dikongsi bersama dengan masyarakat di kawasan ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Randau Solidariti Komuniti 2020 di Dewan Masjid Darul Hana, Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir Miri pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Ripin turut menggesa semua masyarakat di kawasan DUN Lambir menyesuaikan diri dengan perkembangan yang berlaku di seluruh dunia ketika ini. 

“Kita sebagai masyarakat pelbagai generasi perlu menyesuaikan diri dengan perkembangan yang berlaku di seluruh dunia termasuklah inovasi dan teknologi,” ujarnya. 

Selain Kampung Tunku Abdul Rahman, program sebegini juga telah diadakan di beberapa buah kampung di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir.