MIRI: Projek pelebaran jalan dan baik pulih sekolah di sebelah Persimpangan Taman Bumiko menuju Jalan Tanjung Miri dijangka siap pada Disember ini. 

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, ketika ini proses akan pelebaran dan pengubahsuaian jalan tersebut sedang giat dilaksanakan bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya di kawasan tersebut.

“Selekoh di lokasi terbabit didapati agak tajam dan sempit. Keadaan ini  sangat membahayakan pengguna jalan raya yang terdedah kepada risiko kemalangan yang kerap. 

“Projek ini telah dimulakan pada bulan Oktober lalu dan merupakan salah satu rancangan di bawah Urban Traffic Management and Control (UTMC). 

“Ianya dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember ini. 

“Sepanjang pelaksanaan projek ini, sebahagian jalan akan ditutup bagi memudahkan kerja-kerja penurapan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak Projek Pelebaran dan Baik Pulih Selekoh di sebelah Persimpangan Taman Bumiko menuju Jalan Tanjung Lobang Miri pada Sabtu. 

Tambah Datuk Lee lagi, lintasan belang kuning juga akan diimplementasikan di jalan raya terbabit untuk memperlahankan kelajuan jalan raya agar dapat menjamin keselamatan pengguna jalan raya.