SADONG JAYA: Penduduk Kampung Jemukan dan masyarakat di sekitarnya bakal menikmati kemudahan jalur lebar secara menyeluruh selepas siapnya projek pembinaan menara telekomunikasi di kawasan berkenaan.

Projek yang akan dibangunkan di Kampung Jemukan Hilir tersebut akan dibangunkan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo berkata, projek tersebut akan menyelesaikan masalah capaian internet di kampung tersebut serta di kawasan sekitarnya.

“Ini (projek) adalah penyelesaian kepada rungutan banyak pihak di dalam media sosial mengenai masalah internet di kawasan ini khususnya di Kampung Jemukan.

“Kampung Jemukan adalah salah satu kampung di dalam DUN Sadong Jaya yang mengalami masalah internet yang sangat lemah,” katanya semasa majlis penyerahan tapak projek tersebut pada Sabtu.

Sementara itu, penduduk setempat merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri menerusi usaha tersebut.