SERIAN: Kerajaan negeri menggalakkan rakyat menceburi penanaman moden secara hidroponik dalam meningkatkan pengeluaran serta produktiviti.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, penanaman secara hidroponik diyakini menghasilkan sayuran yang lebih berkualiti.

Menurutnya, ketahanan sayur hidroponik juga lebih lama berbanding kaedah konvensional dan juga dipraktikkan jika tidak mempunyai tanah yang luas.

“Kerajaan negeri juga bersedia membantu dari segi pengumpulan, pengkelasan hasil dan pemasaran produk bukan sahaja di dalam negeri bahkan ke luar negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penangguhan Program Jangkauan Pengembangan Komuniti Pertanian (AgriCOP) Siri 3/2020 DUN Kedup pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup, Martin Ben berkata, program yang dianjurkan itu telah memberi pendedahan tentang pendekatan menggunakan kaedah baharu dan teknologi pertanian moden untuk meningkatkan keselamatan, kualiti dan hasil dari produk yang diusahakan.