SEBAUH: Petani perlu mengadaptasi teknologi pertanian di dalam pertanian moden dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti pengeluaran hasil pertanian. 

Justeru, Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom mahu golongan petani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena mengaplikasikan serta mempraktikkan amalan pertanian moden bagi memaksimakan hasil tanaman.

“Kita perlu bersikap kreatif dan berinovasi mengadaptasikan kaedah moden ini dalam pertanian kita untuk mendapatkan hasil lebih dan pendapatan yang lumayan. 

“Dengan mengadaptasikan teknologi moden beliau percaya golongan petani terbabit dapat menjimatkan masa dan mengurangkan tenaga kerja selain mencapai keberkesanan dalam pengeluaran produktiviti atau hasil tuaian,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Bengkel Kepolisan Komuniti Daerah Sebauh Siri Ke 4 di Rumah Antau, Sungai Sekabai, Sebauh pada Jumaat. 

Seramai 73 Tuai Rumah dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Ulu Sebauh menghadiri bengkel ini yang turut mellibatkan 7 agensi kerajaan dalam memberikan taklimat berkenaan isu-isu semasa. 

Pada majlis itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi telah menyerahkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada beberapa buah JKKK dan Rumah Antau Biro Wanita sebanyak RM5,000.

Hadir sama Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Jenny Bangga, wakil Pegawai Daerah Sebauh SAO Dennis Gasing Inggu, Pemanca Limin Anai dan Penghulu Micheal Lanyau Ruma.