SARIKEI: Kepesatan pembangunan di Sarikei hari ini bertitik tolak daripada usaha dan kesungguhan Kerajaan Sarawak yang mahu mengangkat kawasan itu sebagai salah satu pusat pertumbuhan ekonomi di wilayah tengah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan itu jelas memperlihatkan komitmen padu serta kesungguhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam membela nasib rakyat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan gelanggang serbaguna SMK St Anthony pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek itu membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik demi memastikan warga sekolah SMK St Anthony dapat menikmati prasarana yang moden, selamat dan selesa.

Jelasnya, sekolah itu bukan sahaja salah satu institusi pendidikan terawal di daerah itu malah sering meraih rekod cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.