BETONG: Penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan memerlukan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sememangnya amat dialu-alukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu berkata beliau tidak mampu menggalas tanggungjawab untuk menjaga kebajikan masyarakat secara bersendirian dan menyeru penglibatan NGO dalam program kemasyarakatan.

Beliau mengambil contoh inisiatif diambil oleh Pertubuhan Che Zhong Khor Betong yang menyumbang bantuan prihatin COVID-19 kepada OKU dan keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, inisiatif pertubuhan itu memperlihatkan keutuhan semangat dan perpaduan masyarakat di kawasan itu yang sentiasa prihatin dengan nasib golongan yang kurang bernasib baik.

Seramai 100 orang penerima terpilih dari sekitar Betong  menerima bantuan berupa set barangan keperluan harian dan wang tunai yang disampaikan hari ini bertempat di Tapak Pertubuhan Che Zhong Khor Betong.

Gerald kemudiannya meluangkan masa meninjau bangunan baru Pertubuhan Che Zhong Khor Betong yang siap dibina di mana sebahagian besar dana untuk membina bangunan tersebut adalah dari pihak kerajaan.