KABONG: Persatuan Anak Kabong (PAK) menyerahkan sumbangan kepada mangsa tragedi kebakaran di sini pagi tadi.

PAK yang berpangkalan di Kuching telah membuka tabung khas bagi tujuan membantu mangsa kebakaran bermula sejak 3 November lalu dan berakhir pada 27 November.

Hasil daripada penubuhan tabung tersebut pihak PAK telah berjaya memperoleh sumbangan daripada orang ramai sebanyak RM7,000.

Pengerusi PAK, Semawi Haji Mohamad berkata, PAK mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang mengerakkan tabung berkenaan sehingga berjaya memperoleh sumbangan kewangan untuk disalurkan kepada mangsa terlibat.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah bermurah hati untuk menyumbang bagi membantu meringankan bebanan mangsa yang telah terlibat dalam kebakaran pada 2 November lalu.

“PAK secara rasminya telah ditubuhkan sejak enam tahun yang sebagai inisiatif untuk menghimpunkan anak Kabong yang berada di perantauan terutama yang berada di Kuching dan Samarahan.

“Dengan tertubuhnya PAK ia mampu berperanan sebagai platform untuk mengeratkan silaturrahim para Anak Jati Kabong terutamanya yang berada Bahagian Kuching dan Bahagian Samarahan serta kawasan sekitarnya. Ini kerana ramai anak-anak Kabong yang berkhidmat di kawasan berkenan sama ada dalam sektor perkhidmatan persekutuan mahupun dalam kerajaan negeri,syarikat ataupun yang bekerja sendiri.

“Persatuan ini juga seringkali mengadakan aktiviti dan program seperti menyertai pengelolaan Maulidur Rasul, Majlis Ibadah Korban, Majlis Ramah Tamah Aidilfitri, Majlis Ceramah Agama dan juga aktiviti kebajikan seperti membantu jika ada penduduk yang dilanda musibah atau masalah.

Secara dasarnya kewujudan PAK telah berjaya mencapai objektif penubuhannya setakat ini dan kita berharap PAK akan terus relevan dalam memainkan peranannya untuk masyarakat Kabong selepas ini,” ujarnya.

Penerima sumbangan yang terlibat hari ini ialah Sharifah Majenah Wan Tenku Sidi (RM2,000), Niarah Awi (RM2,000), Sabariah Bt Mohammad (RM2,000), Haliza Sulieman (RM500) dan Saniah Ghani (RM500).

Hadir sama Setiausaha PAK Haji Samasu Johari, Bendahari PAK Haji Jaya Luki, Penghulu Haji Sani Mohamad, Pengerusi LAKIK, Haji Olen Tabor dan Ketua Kampung Hilir Sungai Pala, Hainie Salem.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Kabong jam 11 pagi.

Pengerusi PAK,Semawi Mohamad.