DARO: Pendedahan mengenai pendigitalan kepada masyarakat adalah penting dengan mengambil kira masih ramai yang belum bersedia beralih kepada teknologi itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, penggunaan kaedah digital khususnya dalam bidang perniagaan telah mengubah sistem sebelumnya yang dilihat mensasarkan penjualan lebih meluas.

Ujarnya, masyarakat perlu memahami kaedah ini selaras dengan dasar yang dilaksanakan Datuk Patinggi Johari Tun Openg untuk negeri Sarawak menuju ke arah Ekonomi Digital.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Inklusiviti Digital 2020 Peringkat Daerah Daro di Dewan Masyarakat Daro pada Khamis.

Tambahnya, kepimpinan Ketua Menteri juga telah merancang mewujudkan syarikat telekomunikasi sendiri yang pasti akan memberi impak besar kepada penambahbaikan liputan komunikasi di luar bandar.

Dalam pada itu, Safiee turut berharap orang ramai lebih berhati-hati dengan kegiatan penipuan melalui talian yang kini terus menjadi trend baharu jenayah.