MUKAH: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan semasa pasca COVID-19.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo, peranan JKKK tertumpu ke arah menyalurkan maklumat penduduk yang terkesan akibat COVID-19 kepada kerajaan.

“JKKK berperanan penting dalam menyenarai dan mendaftarkan dan individu yang terjejas atau dibuang kerja untuk disalurkan maklumat kepada kerajaan,” katanya semasa berucap pada Program Kepolisan Komuniti Peringkat Daerah Mukah pada Khamis.

Ujar beliau, peranan JKKK tetap mustahak walapun kerajaan telah menggerakkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat seperti latihan ‘Upskilling’ dan ‘Reskilling’, program subsidi upah dan program pekerjaan jangka pendek.

Beliau menambah, kerajaan pusat telah memperuntukkan sebanyak RM69 bilion dari Belanjawan 2021 untuk kesejahteraan rakyat khususnya dalam merangka strategi memerangi COVID-19.

Ia termasuk memulihara kebajikan golongan ‘Rentan’ atau mereka yang tergolong di bawah kategori B40 dalam menambah baik bantuan kewangan dan meringankan beban hidup rakyat di samping bantuan kepada petani, peladang dan nelayan, jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Yussibnosh berkata Kerajaan Negeri sedang berusaha melonjakkan capaian digital luar bandar dengan memohon lesen Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP) untuk Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) bagi membangunkan jaringan internet di kawasan luar bandar.

Hadir sama Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir dan Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip.