MATU: Sebanyak 11 Projek Kecil Luar bandar (MRP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di sekitar Matu telah siap dan diserahkan kepada penerima.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, antara yang siap termasuk projek bina baru pusat sumber JKKK Kg Sekaan Besar Matu dan projek bina baru parkir di SMK Matu.

Selain itu katanya, beberapa projek baru akan dilaksanakan seperti bina baru rumah, baik pulih rumah, bina baru dewan berbumbung di SK Sok Matu, bina baru parit, pembetung serta longkang.

Dr Juanda ditemui semasa mengadakan lawatan di sekitar Matu pada Jumaat bagi meninjau kemajuan projek MRP-PPRMS yang sedang dilaksanakan serta menyerahkan projek baru kepada kontraktor dan projek siap kepada penerima dari agensi pelaksana.

Pada sebelah petang, beliau menghadiri Majlis Penyerahan Kenyalang Gold Card (KGC) DUN Jemoreng anjuran Pejabat Daerah Matu Dan Pejabat Kebajikan Daerah Matu.

Dalam amanatnya, Dr Juanda menyeru warga emas yang layak agar memohon KGC kerana ia memberi banyak manfaat kepada mereka.

Sebanyak 720 keping KGC telah diserahkan kepada pemohon di kawasan DUN Jemoreng.