KUCHING: Suara dan rintihan rakyat yang terjejas kehidupan mereka akibat pandemik COVID-19 akhirnya didengari apabila kerajaan bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran program i-Sinar dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Dato Sri Zafrul Abdul Aziz berkata, pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP itu akan memberi manfaat kepada lebih lapan juta pencarum berbanding dua juta pencarum yang layak sebelum ini.

Malah jelasnya, jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000 berbanding RM9,000 yang dibenarkan sebelum ini.

“Tanpa mengira sama ada ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP.

“Mereka cuma perlu memohon di dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP. Tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau overtime (OT) mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada 6 November lepas, program i-Sinar diperkenalkan, di mana KWSP telah membenarkan 600,000 ahli mengeluarkan sehingga RM6,000 dari Akaun 1.

Ini kemudian ujarnya, ditambahbaik apabila KWSP mengumumkan skop kelayakan diperluas kepada dua juta ahli yang aktif yang kini boleh mengeluarkan sehingga RM9,000 atau RM60,000 dari Akaun 1, bergantung kepada terma kelayakan.

“Namun, kerajaan terus peka kepada rungutan ahli dan cetusan pendapat dari ahli-ahli Yang Berhormat sendiri tentang syarat-syarat yang terlalu ketat, contohnya ahli yang sudah berhenti mencarum beberapa tahun tetapi masih mempunyai simpanan, namun tidak layak untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1.

“Ada pula ahli yang tidak hilang pekerjaan tetapi gaji, elaun atau overtime telah dipotong dengan ketara hingga menjejas kemampuan mereka menampung perbelanjaan diri dan keluarga, mereka juga merungut kerana tidak layak memohon, kerajaan mendengar semua ini,” jelasnya.