KUCHING: Prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), akan dikuatkuasakan di seluruh Sarawak, mulai 28 November ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan media memberitahu, sehubungan itu, terdapat beberapa sektor yang masih tidak dibenarkan beroperasi pada tempoh ini sehingga diberitahu kelak.

“Antara sektor yang masih tidak dibenarkan beroperasi ialah pusat hiburan seperti kelab malam, pub, karaoke dan refleksologi,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, sektor lain dibenarkan beroperasi dan perlu mematuhi SOP yang dikuatkuasakan semasa PKPP.

Kenyataan itu menjelaskan, ini termasuk masa operasi bagi semua aktiviti ialah mulai 6.00 pagi hingga 12.00 malam.

“JPBN mengingatkan kepada semua pemilik premis yang dibenarkan beroperasi, menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan segala SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH) semasa tempoh PKPP, dipatuhi sepenuhnya, “kata kenyataan itu.

Bagi kemasukan ke Sarawak, tata cara yang dikeluarkan sebelum ini masih dikekalkan.