DEBAK: Projek Ransangan Ekonomi (PRE), salah satu inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak.

Di bawah PRE, beberapa tabika di DUN Debak telah dan akan dinaiktaraf dengan yang pertama siap Tabika KEMAS Kampung Dit yang menelan kos sebanyak RM100,000.

Majlis penyerahan tabika itu disempurnakan hari ini dan disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam.

Ketika ditemui, Mohammad Razi memberitahu, selain Tabika KEMAS Kampung Dit, Tabika Kemas Kampung Bungin juga akan dinaiktaraf di bawah PRE dengan kos selenggaraan sebanyak RM20,000.

Jelasnya lagi, kerja-kerja menaik taraf Tabika Kemas Medang pula sedang giat dijalankan menelan kos RM50,000 manakala Tabika Buda menelan kos RM100,000 di bawah Projek Bina Semula dengan kedua-dua projek menggunakan peruntukan RTP beliau.

Apabila siap kelak, tabika baru itu katanya akan memberi impak positif kepada rakyat terutama kepada para guru tabika dan anak-anak murid.

Dengan struktur bangunan yang lebih kukuh serta kelengkapan lain yang disediakan akan menjadikan proses pembelajaran anak-anak lebih selesa dan teratur.