KUCHING: Persatuan Bekas-Bekas Pengguna Dadah (Pengasih) cawangan Sarawak berhasrat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam usaha mengurangkan penyalahgunaan dadah, khususnya di negeri ini.

Pengasih Sarawak ini secara rasminya ditubuhkan pada 4 November lalu.

Menurut kenyataan Pengasih, objektif utama organisasi ini ialah menggabungkan tenaga serta sifat dinamik bekas-bekas pengguna dadah yang mencapai kepulihan (whole person recovery). 

Sehubungan itu, Pengasih akan mengaplikasikan pengalaman  berharga untuk membantu mereka yang terlibat dengan dadah.

“Pengasih juga menggunakan pendekatan yang kreatif untuk mendekati anak muda, bagi mencegah mereka daripada terjebak semula ke dalam penyalahgunaan  dadah,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, Pengasih turut memanfaatkan bekas-bekas pengguna dadah yang pulih ini untuk menyantuni pengguna dadah lain yang berpotensi untuk pulih, sekali gus mengurangkan impak sosial akibat penggunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana, rawatan pemulihan penagih merupakan satu proses yang berpanjangan.

“Bekas-bekas penagih dadah memerlukan satu sistem sokongan yang kuat dalam masyarakat untuk kekal bersih daripada najis dadah,” kata kenyataan itu.

Menerusi Pengasih, bekas-bekas penagih yang melalui aktiviti pemulihan ini, boleh mengikuti aktiviti-aktiviti sokongan Pengasih Sarawak iaitu program penjagaan (aftercare program).