KUCHING: Polis kini giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes ugutan membunuh seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail menerusi satu kenyataan mengesahkan suspek dikenali sebagai Yong King Ling, 35, yang beralamat tetap di Sibu.

Beliau berkata, suspek merupakan perancang utama kes berhubung satu bungkusan berisi dua peluru hidup yang diterima oleh mangsa di kediamannya di Jalan Matang semalam.

Tambahnya, bungkusan tersebut turut dilampirkan bersama sekeping kertas putih bertulis “terdapat dua peluru, satu panjang dan satu pendek, mana satu yang kamu mahu”.

Menurutnya, motif kejadian dipercayai berkaitan dengan satu operasi khas yang dijalankan oleh pegawai terbabit di satu daerah di negeri ini pada awal November lalu.

Katanya, tiga lelaki berusia 35 hingga 39 tahun berjaya ditahan susulan laporan hasil risikan awal Cawangan Jenayah Berat D9 Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak.

“Kesemua suspek kini dalam tahanan reman selama empat hari sehingga 1 Disember untuk siasatan lanjut.

“Semakan rekod lampau mendapati dua daripadanya terlibat kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Ujar Aidi, dua kertas siasatan telah dibuka dan akan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun.

Terdahulu, laporan berhubung insiden diterima oleh pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching sekitar jam 12.05 tengah hari.