KUCHING: Sejumlah RM50 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi melakukan kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara melalui Belanjawan 2021.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, kementeriannya akan menggunakan peruntukan tersebut bagi memastikan ketersediaan tempat tumpuan pelancong.

Beliau menambah, MOTAC sentiasa komited dalam membangun dan menaiktaraf lokasi-lokasi baharu dan sedia ada yang menjadi tumpuan pelancong di seluruh negara.

“MOTAC juga telah meneroka cara kreatif untuk menerima kehadiran pelancong asing secara berfasa dan bersasar dengan destinasi-destinasi negara luar yang dikategorikan sebagai hijau.

“Cadangan itu akan diperhalusi oleh Kementerian dan agensi lain yang berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan bagi dipertimbangkan untuk dilaksanakan apabila tiba waktu yang bersesuaian kelak,” jelasnya  dalam ucapan penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kementeriannya sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan-kerajaan negerigeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mengenalpasti produk-produk pelancongan yang baru serta memastikan produk pelancongan sedia ada dilestarikan.